InfoView: Populariti Kota Belud (K.B) tidak hanya didominasi kehangatan senario politik semasa, malah turut didorong melalui sektor pelancongan, sukan dan keunikan budaya masyarakat multi-etnik di daerah ini. Penganjuran Tamu Besar Kota Belud sebagai acara tahunan dalam kalender pelancongan negeri Sabah telah mencanang nama K.B di peringkat global dengan ikon 'Cowboys of the East'. Selain itu, ikon K.B dalam sukan bola sepak juga pernah mahsyur di pentas antarabangsa. Kejayaan lagenda Bola Sepak K.B, Matlan Marjan menjaringkan 2 gol ketika Malaysia menentang England pada 12 Jun 1991 menjadi catatan teristimewa buat K.B sehingga kini. Seterusnya pada tahun 2008, seorang lagi ikon K.B muncul di pentas industri muzik antarabangsa dengan kejayaan yang amat membanggakan. Gary Chaw anak kelahiran K.B telah merangkul anugerah 'Best Male Mandarin Artist' dalam '19th Golden Melody Award 2008' pada 5 Julai 2008 di Taipei Arena, Taiwan.
Chaw (32 tahun) lahir di Kota Belud Sabah pada 9 Julai 1979, mula bergiat aktif dalam industri muzik Taiwan pada tahun 2006 dan menghasilkan beberapa buah album mandarin di bawah syarikat rakaman Rock Records (Taiwan). Kejayaan album 'Super Sunshine' dalam Golden Melody Award 2008 adalah mercu kegemilangan beliau sebagai artis dan komposer lagu Mandarin yang kian popular di Taiwan, Hong Kong, Singapura, Malaysia, Jepun dan Kanada. Mengimbau coretan hidup beliau, Chaw mengambil keputusan nekad ke Taiwan pada 2002, dengan hanya membeli tiket penerbangan sehala dan wang tunai berjumlah kira-kira RM 1,600. Beliau berhadapan cabaran getir dalam industri ini bermula dengan kegagalan, tekanan hidup dan pelbagai masalah lain sehingga beliau menganggur dan hidup merempat. Kenangan pahit beliau berakhir 3 tahun kemudian, setelah bangkit dengan pelbagai usaha gigih untuk mengasah bakat nyanyian beliau, akhirnya Chaw berjaya mendapat tawaran kontrak rakaman daripada Rock Records.
Pada tahun 2010, Chaw turut terlibat dalam bidang lakonan menerusi filem Ice Kacang Puppy Love, memegang watak utama sebagai Ma Linfan. Filem ini turut membariskan artis-artis ternama Malaysia yang popular di luar negara.
Tahniah dan sekalung penghargaan buat ikon-ikon K.B yang telah mengharumkan nama Kota Belud di mata dunia!

No comments:
Post a Comment